Tuesday, January 19, 2010

PULAU KAPAS

PULAU KAPAS

Kira-kira seratus tahun lampau, Pulau Kapas yang terletak enam kilometer dari Pantai Marang, Terengganu amat ditakuti oleh penduduk dan nelayan tempatan. Mereka cukup takut berteduh terutamanya pada musim tengkujuh. Mereka takut dan khuatir nyawa terancam apbila mendekatinya.

Pulau Kapas dikatakan berpenunggu puaka-beberapa orang yang singgah di situ menerima nasib malang, menemui ajal dalam keadaan yang ngeri dan memilukan. Memang ada di kalangan nelayan-nelayan yang menjadi mangsanya, ada juga yang hilang begitu sahaja. Demikian menurut cerita beberapa orang penduduk setempat.

Selain itu, terdapat cerita yang diperturunkan dari mulut ke mulut tentang asal usul Pulau Kapas, iaitu tentang adanya seekor harimau ganas yang tidak diketahui jenisnya yang sentiasa membaham sesiapa sahaja yang berada di situ. Harimau tersebut kononnya dapat berubah wajah menjadi orang tua atau perempuan cantik yang pandai menggoda.

Apabila bertukar wajah menjadi orang tua ia meminta orang melakukan sembahan-sama ada kambing atau anak lembu. Darahnya hendaklah dihantar ke puncak bukit di situ. Jika ingkar, ia bertukar menjadi harimau, lantas membaham yang ingkar.

Apabila menyerupai perempuan cantik, ia lantas sahaja menggoda. Apabila mangsanya tergoda, ia berubah menjadi harimau dan membaham mangsanya.

Bagaimanapun, orang yang ke Pulau Kapas kini tidak pernah berasa bimbang atau takut lagi. Segala cerita tentang puaka dan harimau itu tinggal dongeng. Pulau Kapas kini menjadi pulau pelancongan yang kian sibuk.

Pulau Kapas yang terletak di perairan Terengganu dikelilingi air laut yang jernih bagaikan kaca sehingga kelihatan batu-batu karang dan ikan pelbagai jenis berwarna-warni.

Pantainya putih bersih dan pemandangannya begitu menarik dengan batu-batan menghampar ke laut. Ia berbukit-bukit dengan hutan menghijau.

Pulau ini juga mempunyai beberapa keistimewaan lain, termasuk sebuah perigi berair sejuk semulajadi. Ia juga sesuai bagi yang berminat dengan aktiviti berperahu, menangkap ikan, menyelam, berkelah dan memancing.

Untuk tiba di pulau ini tidak begitu menyulitkan. Memandangkan terdapat banyak perkhidmatan bot penumpang dari pantai Marang. Pejalan sejauh enam kilometer mengambil masa kira-kira 30 minit. Sebarang tempahan dan pertanyaan boleh dibuat menerusi Hotel Pantai Primula, Kuala Terengganu.

0 comments:


Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Powered by Blogger and Supported by Lincah.Com - KIA Cars